Saturday

Bab 4 : Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah:


4.1 - Perubahan nama:

Pada peringkat awal, mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah tidak dikenali dalam dunia Islam, terutama pada zaman Bani Umaiyyah dan awal zaman Bani `Abbasiyyah. Dengan kemunculan al-Asy`ari, nama @ aliran yang diberikan kepada mereka ialah mazhab al-Asya`irah.

Menurut al-Syahrastani, istilah Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah hanya timbul setelah al-Asy`ari melibatkan diri dengan golongan al-Sifatiyyah dalam menetapkan sifat-sifat azali bagi Allah, dan menyokong pendapat-pendapat mereka dengan hujah-hujah ilmu kalam. Semenjak itulah nama al-Sifatiyyah bertukar kepada al-Asy`ariyyah.

Di dalam kitab Maqalat al-Islamiyyin sewaktu membicarakan pendapat-pendapatnya atau dengan kata-kata lain akidah-akidahnya, al-Asy`ari menyebutkan " Ini adalah sebahagian daripada pendapat (qaul) Ashab al-Hadith dan Ahl al-Sunnah. Sementara itu, di dalam kitab al-Ibanah pula, beliau menyebutkan: “ Ini adalah pendapat (qaul) Ahl Haq wa al-Sunnah.” Di dalam kedua-dua kenyataan itu, beliau tidak menyebut perkataan al-Jama‘ah.

Besar kemungkinan al-Baghdadi merupakan orang yang pertama di kalangan golongan al-Asya„irah yang menggunakan perkataan al-Jama‘ah selepas perkataan Ahl al-Sunnah diikuti oleh al-Syahrastani. Walau bagaimanapun, al-Jama‘ah yang sebenar menurut pandangan „Ali bin Abi Talib (k.w) dari generasi pertama Islam adalah bersama ahli kebenaran sekalipun mereka itu sedikit. Al-Furqah (perpecahan) adalah dengan mengikut Ahl al-Batil sekalipun mereka itu ramai.

Sementara itu, al-Asy„ari al-Qummi (m.301/914) mengatakan bahawa al-Jama‘ah adalah golongan ramai yang menyokong mana-mana pemerintahan tanpa mengira sama ada pemerintahan itu adil ataupun zalim. Mereka bersepakat bukan kerana keagamaan, malahan pengertian al-Jama‘ah yang sebenar bagi mereka adalah perpecahan (al-furqah) kerana dendam mendendam berlaku sesama mereka terutamanya mengenai aspek-aspek Tawhid, hukum, fatwa dan lain-lain. Mereka bertengkar dan mengkafir sesama mereka.

Justeru itu, tidak hairanlah jika al-Zamakhsyari (m.537/1143) memandang Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah dengan pandangan yang begitu negatif, malahan beliau menamakan mereka al-Mujbirah atau al-Jabariyyah.56 Oleh itu, al-Jama‘ah menurut pengertian yang kedua dikatakan boleh merujuk kepada simbol perpaduan secara lahir sesama mereka di bawah satu pemerintahan yang tidak berkaitan dengan keagamaan (perpaduan politik). Pada hakikatnya, ia merupakan perpecahan dan perselisihan dari segi hukum, fatwa dan lain-lain.

Istilah Ahl al-Sunnah wa al-Jama„ah pada mulanya diberikan kepada aliran al-Asya„irah tetapi kemudian telah diperluaskan sehingga merangkumi mazhab fiqh dan lapangan-lapangan ilmu Islam yang lain.

4.2 -Golongan-golongan dalam Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah:

Berdasarkan keterangan al-Baghdadi (m.429/1037) menunjukkan bahawa Ahl al-Sunnah wa al-Jama„ah adalah terdiri daripada lapan (8) golongan:

Pertama: Orang yang mengetahui aspek Tawhid, kenabian, hukum janji dan ancaman, pahala dan dosa, syarat-syarat ijtihad, kepimpinan (imamah), kepimpinan umat (al-za‘amah) dengan metod aliran ulama-ulama Kalam al-Sifatiyyah (yang menetapkan sifat-sifat Tuhan yang tidak berkait dengan fahaman tasybih, ta‘til (ingkar sifat-sifat Allah) serta bid`ah al-Rafidah, al-Khawarij, al-Jahmiyyah, al-Najjariyyah dan semua golongan bid„ah lainnya.

Kedua: Para imam dalam fiqh, sama ada Ahl_al-Ra'y mahupun Ahl_al-Hadith yang menganuti aliran golongan al-Sifatiyyah dalam persoalan pokok agama, mengenai zat dan sifat Tuhan yang azali dan menjauhkan diri daripada fahaman al-Qadariyyah dan Mu„tazilah, menetapkan adanya ru‟yah (melihat Tuhan dengan mata) tanpa tasybih dan ta„til, kebangkitan (al-hasyr), pertanyaan dalam kubur, telaga (al-haud), jambatan (al-sirat), syafaat dan pengampunan dosa kecuali syirik, nikmat pahala ahli syurga dan azab ahli neraka.

Mereka mengikuti kekhilafahan para khalifah yang empat, memuji para ulama salaf, mewajibkan sembahyang dan sembahyang Jumaat di belakang imam-imam yang menjauhkan diri daripada bid„ah, mengatakan wajibnya pengambilan (istinbat) hukum daripada al-Qur‟an, hadith dan ijma„ (sahabat), mengharuskan sapu di atas dua khuf, talaq tiga sekaligus, haram nikah mut„ah, wajib mentaati pemerintah (sultan) dalam perkara-perkara yang bukan berbentuk maksiat, termasuklah dalam golongan ini juga pengikut-pengikut Malik, al-Syafi„i, al-Awza„i, al-Thawri, Abu Hanifah, Ibn Abi Laila, juga para pengikut Abu Thaur, Ahmad bin Hanbal, al-Zahiri,dan seluruh ulama fiqh yang berpegang kepada pokok-pokok ajaran golongan al-Sifatiyyah dalam bidang usul dan tidak mencampurkan fiqhnya dengan bid„ah golongan-golongan lain.

Ketiga: Mereka yang mengetahui saluran hadith (al-akhbar wa al-sunan) yang datang daripada Rasulullah, membezakan yang benar dan yang palsu, mengetahui sebab-sebab kebaikan dan kelemahan seseorang (al-Jarh wa al-Ta‘dil) dengan menghindarkan diri daripada bid„ah yang sesat.

Keempat: Mereka yang mengetahui banyak persoalan kesusasteraan, nahw-saraf dan mengikuti jejak langkah tokoh-tokoh bahasa seperti al-Khalil, Abi „Amru bin al-„Ala‟, Sibawaih, al-Farra‟, al-Akhfasy, al-Asmu„i, al-Muzani, Abu „Ubaid dan semua ulama nahw, sama ada daripada aliran Kufah mahupun Basrah yang tidak bercampur pengetahuan mereka dengan bid„ah al-Qadariyyah, al-Rafidah atau al-Khawarij. 

Kelima: Mereka yang mengetahui pelbagai bentuk bacaan (qira’at) al-Qur‟an, tafsiran-tafsiran ayat serta takwilannya yang bersesuaian dengan mazhab Ahl al-Sunnah, bukan takwilan ahli-ahli bid„ah.

Keenam: Ahli-ahli zuhud dan golongan tasawwuf yang giat beramal dengan tidak banyak bicara, menetapkan Tawhid dan meniadakan tasybih serta menyerahkan diri kepada Tuhan.

Ketujuh: Mereka yang bertempat di kawasan atau medan pertahanan orang-orang Islam untuk menjaga keamanan negara Islam dan mempertahankan serta melahirkan mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jama„ah.

Kelapan: Seluruh negara yang tunduk kepada penguasaan (sya‘a’ir) Ahl al-Sunnah, berpegang kepada pendapat ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama„ah dalam aspek keadilan, ketauhidan, janji,ancaman dan merujuk urusan-urusan agama kepada mereka dan bertaklid dalam hukum-hukum furu„, sama ada dalam perkara halal atau haram.

Berpandukan keterangan al-Baghdadi tersebut, ternyata bahawa apa yang dikatakan Ahl al-Sunnah wa al-Jama„ah pada zaman tersebut dan seterusnya sudah merangkumi banyak kumpulan di dalamnya. Ada kemungkinan inilah juga dimaksudkan oleh al-Baghdadi sebagai al-Jama‘ah seperti yang terangkum di dalam istilah tersebut..

4.3 - Faktor-faktor perkembangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah:

Perkembangan aliran al-Asya„irah atau Ahl al-Sunnah wa al-Jama„ah, kekuasaan dan pengaruhnya dalam dunia Islam secara meluas dan dianuti oleh sebahagian besar umat Islam dapat diperhatikan daripada beberapa faktor. Di antara faktor-faktor tersebut adalah seperti berikut:

Pertama: Tekanan dan paksaan yang dikenakan oleh aliran Mu`tazilah terhadap para pengikut aliran-aliran lain dalam masalah al-Qur'an adalah makhluq (bukan qadim), di samping paksaan di atas perintah al-Ma'mun (m.218/833) yang menganuti aliran Mu`tazilah pada abad ke-3/9 diikuti selepasnya oleh al-Mu`tasim (m.227/842) dan al-Wathiq (m.232/847) sehinggalah al-Mutawakkil (m.247/861) menaiki takhta.

Al-Mutawakkil ialah khalifah yang memainkan peranan penting dalam kejayaan golongan Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah mendominasi dunia Islam seterusnya.59 Semasa kenaikan al-Mutawakkil menjadi khalifah, aliran Mu`tazilah memegang kekuasaan dalam hampir kesemua bidang sama ada pemerintahan dan pentadbiran negara, institusi-institusi pendidikan, pusat-pusat perubatan, perdagangan. Aliran ini juga turut mendominasi akidah golongan berpendidikan tinggi, intelek-intelek dan kelas-kelas masyarakat yang mempunyai pengaruh.

Aliran al-Sifatiyyah menguasai masyarakat bawahan dan kebanyakannya terdiri daripada kadi, pendakwah, ulama fiqh dan orang-orang yang mengikuti mereka. Al-Mutawakkil bersekutu dengan golongan bawahan kerana mendapati faedah dan keuntungan daripada tindakannya itu. Ia boleh menjadikan dirinya sebagai sanjungan orang ramai dan model khalifah yang fanatik.

Perintah telah dikeluarkannya untuk menyingkirkan Mu`tazilah dan golongan rasionalis dari kerajaan. Kolej dan universiti diarah supaya ditutup. Bidang kesusasteraan, sains dan falsafah tidak dibenarkan dan golongan rasionalis umumnya diburu keluar dari kota Baghdad.

Al-Mutawakkil juga telah memusnahkan makam Saiyidina Ali bin Abi Talib ra dan anak-anaknya. Ulama fiqh yang fanatik menjadi ulama Islam dan memegang kuasa dan pemerintah negara. Di bawah kekuasaan al-Mustazhid bi'llah (Ahmad, Abu al-`Abbas, 279/892 - 289/902), kemenangan mutlak mereka dicapai. Golongan rasionalis dihukum.

Golongan al-Sifatiyyah menetapkan bahawa " keadilan " adalah dengan menghidupkan prinsip perbuatan manusia iaitu bahawa Allah menguasai alam dengan " keadilan " yang merupakan zat-Nya. Mereka juga menetapkan bahawa ujian benar atau salah bukanlah atas kehendak mana-mana individu tetapi kebaikan untuk kemanusiaan. Doktrin ini bersifat revolusi dan hak Tuhan itu ditujukan kepada khalifah yang boleh melakukan apa sahaja termasuk perkara yang tidak baik.

 Allah

Rasulullah