Tuesday

Teguhlah dengan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.


   " BERPEGANG TEGUHLAH KEPADA AQIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH "

 Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allahﷻ dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan. Iaitu dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa seterusnya selamat dan berjaya di dunia serta di akhirat.

Pada hari yang mulia ini marilah sama-sama kita menghayati khutbah yang bertajuk: “Berpegang Kepada Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah”. Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan pegangan yang dominan di kalangan masyarakat Islam hampir diseluruh dunia khususnya di rantau Asia Tenggara termasuk negara kita Malaysia. Malaysia di antara negara yang menjadikan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai pegangan rasmi masyarakat Islam di negara ini berdasarkan keputusan dan pengamalan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dan para mufti serta ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia. Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 telah menetapkan bahawa:

“Umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlak”.

Istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah berasal daripada dua patah  perkataan iaitu “ahl al-Sunnah” dan “al-Jamaah” yang memberi maksud golongan yang mengikuti pegangan Rasulullahﷺ atau mengikuti jalan hidup Rasulullahﷺ

dan jamaah para sahabat terutamanya para khulafa’ al- Rasyidin yang dididik oleh Rasulullahﷺ. Ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah meliputi ajaran-ajaran Islam mengenai akidah, syariah dan akhlak yang dibawa semenjak zaman Rasulullahﷺ serta para sahabat Rasulullahﷺ. Istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah diambil dan dirumus oleh ulama berdasarkan riwayat hadis. Daripada Abdullah bin Amr R.A bahawa Rasulullahﷺ bersabda:

 “Sesungguhnya telah berpecah Bani Israil kepada tujuh puluh dua (72) kelompok. Manakala umatku akan berpecah kepada tujuh puluh tiga (73) kelompok di mana kesemuanya akan ke neraka kecuali satu (1) kelompok. Mereka bertanya: Siapakah mereka itu wahai Rasulullah? Baginda s.a.w. menjawab: Mereka adalah golongan yang berpegang kepada ajaranku dan para sahabatku.

(Riwayat at- Tirmidzi)

Berdasarkan riwayat hadis tersebut dan riwayat-riwayat lain yang seerti dengannya, para ulama telah membuat kesimpulan bahawa maksud mereka yang mengikut sunnah Rasulullahﷺ dan para sahabat ialah golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah satu pegangan yang berakar umbi dari ajaran yang dibawa oleh Rasulullahﷺ. dan para sahabat Rasulullahﷺ. Kemudian, disusun dengan lebih bersistem dan teguh oleh dua tokoh imam Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu Imam Abu al-Hassan al-Ash’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.

Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah disifatkan sebagai ajaran yang betul, lurus, selamat, jelas dan tiada kekeliruan di dalamnya. Sementara ajaran-ajaran lain disifatkan sebagai ajaran yang keliru, menyeleweng dan mempunyai kecenderungan yang jauh daripada ajaran yang berasaskan al-Quran dan al-Sunnah. Antara ciri-ciri pegangan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah:

Pertama :

Berpegang dan mentafsirkan hukum-hukum Islam berdasarkan kepada sumber perundangan utama iaitu al-Quran, al-Sunnah, Ijmak dan Qias tanpa menolak atau mengurangkan peranan salah satu darinya.

Kedua :

Berpegang kepada ajaran Islam yang meliputi perkara mengenai Iman iaitu akidah, Islam iaitu syarak dan Ihsan iaitu akhlak.

Ketiga :

Berpegang kepada al-Quran yang dihimpunkan oleh para sahabat terutamanya al-Quran yang dikenali sebagai Mashaf Uthmani serta berpegang kepada al- Sunnah terutamanya hadis-hadis yang dihimpunkan oleh imam-imam besar hadis seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Tirmidzi, Imam Abu Daud, Imam an- Nasa’ie, Imam Ibnu Majah dan imam-imam lain yang diiktiraf.

Keempat : Berkepercayaan bahawa para sahabat kesemuanya bersikap benar dan adil tanpa mengkufurkan salah seorang dari mereka. Terutamanya, para khulafa’ al- Rasyidin iaitu Saidina Abu Bakar as-Siddiq R.A, Saidina Umar al-Khattab R.A, Saidina Uthman bin ‘Affan R.A dan Saidina Ali bin Abi Talib R.A.

Kelima : Percaya dan beriman kepada perkara ghaib terutamanya yang sabit melalui al-Quran dan al-Sunnah seperti siksaan azab kubur, pembalasan syurga, neraka dan sebagainya.

Keenam : Tidak mengkufurkan saudara se-Islam atau yang berkiblatkan Kaabah (ahl al-Qiblah) dengan mudah  kecuali dengan pertimbangan ilmu atau hujjah yang kuat  dan sikap yang adil.

Ketujuh : Kesederhanaan dalam kepercayaan dan pengamalan iaitu tidak terlalu ekstrem dan tidak terlalu cuai. Adapun fahaman-fahaman lain yang dipelopori oleh beberapa golongan seperti Syiah, Rafidhah, Khawarij, Qadariyyah, Murji’ah, Jahmiyyah dan sebagainya telah menyalahi sebahagian atau semua daripada perkara di atas. Seperti menolak al-Quran dan al-Sunnah, mentafsirkan Islam berdasarkan akal semata-mata dan kehendak nafsu, mengkufurkan para sahabat, bersikap ekstrem dan sebagainya. Justeru, fahaman dan ajaran seperti yang disebutkan di atas tertolak dan tidak tergolong di dalam kelompok Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pendirian pihak berkuasa dan institusi Islam di Malaysia dalam menetapkan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai pegangan rasmi tidak lain adalah bertujuan untuk dijadikan sebagai panduan dan pegangan hidup serta pengamalan masyarakat Islam di negara ini. Ternyata sikap ini turut memberi impak positif yang berpanjangan dalam menyatupadukan umat dan mengukuhkan perpaduan serta kestabilan negara ini.

Oleh itu, sebarang usaha untuk memasukkan ajaran dan fahaman yang berlainanan daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah dan berlainan daripada pengamalan biasa masyarakat Islam di negara ini dianggap sebagai usaha untuk memecahbelahkan masyarakat, mengacau-bilaukan kestabilan serta keharmonian negara.

Diharapkan kerjasama daripada seluruh masyarakat Islam di negeri ini untuk sama-sama membenteraskan ajaran dan fahaman yang menyalahi akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai menyahut seruan Allah selari dengan konsep tolong-menolong dalam membuat perkara kebajikan dan taqwa.

Kesimpulan Pentingnya kita menjaga Aqidah dan Tauhid.

Pertama : Aqidah dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah satu-satunya akidah dan pegangan yang diyakini dan jaminan selamat daripada azab api neraka oleh Rasulullahﷺ.

Kedua : Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah pegangan rasmi institusi dan masyarakat Islam di negara ini yang perlu dipegang dan dipertahankan.

Ketiga : Sebarang ajaran, fahaman, pegangan atau ideologi yang bercanggah dan menyeleweng daripada Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah hendaklah dicegah dan dijauhi sebagaimana yang difatwakan oleh Majlis Agama atau Jabatan Mufti negeri-negeri seluruh Malaysia.

Keempat : Segala ajaran dan fahaman baru yang mengelirukan perlulah dirujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan, Jabatan Mufti negeri-negeri dan alim ulama bertauliah serta institusi-institusi Islam yang diiktiraf oleh pihak berkuasa.

Firman Allahﷻ dalam Surah Al-An’am ayat 116 yg bermaksud:

"Engkau menuruti kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkan engkau daripada jalan Allah, mereka tidak lain hanyalah menurut sangkaan semata-mata dan mereka tidak lain hanyalah berdusta”.

 (Al-An’am: 116)

Rasulullahﷺ                                                               Allah