AHLAN YA RAMADHAN!
Ahlan Ya Ramadhan atau Selamat Datang Wahai Ramadhan bersempena dengan bulan yang penuh berkat ini. Pejam celik, pejam celik bulan Syab’ban akan meninggalkan kita beberapa hari lagi, ini bermakna Bulan Ramadhan akan kembali menemui kita, Insya-Allah. Bagaikan kita menunggu seorang tetamu yang teramat istimewa, Ramadhan ini ditunggu-tunggu kehadirannya oleh umat Islam di seluruh pelusuk dunia dengan perasaan yang sungguh gembira. Menurut satu riwayat, Rasulullah s.a.w telah mempersiapkan dirinya 6 bulan sebelum tibanya Ramadhan.
Malah Rasulullah s.a.w telah mengajar para sahabatnya sepotong doa iaitu : “Ya Allah bekatilah kami pada Sya’ban dan sampaikan kami kepada Ramadhan.”
Maka bersempena dengan kehadiran Bulan yang Mulia ini, bersama-samalah kita memuhasabahkan diri kita atau merenung sejenak apakah kita sudah bersedia untuk menghadapi Ramadhan Al-Mubarak ini atau dikenali juga sebagai Madrasatul Ramadhan atau Sekolah Ramadhan ini. Kita perlulah mengetahui bahawa Fadhilat bulan Ramadhan ini teramat banyak, yang mencakupi dari sudut emosi, jasmani, rohani, dan intelek kita sebagai seorang Muslim.
“Wahai Manusia, seseungguhnya kamu akan didatangi satu bulan yang besar lagi penuh keberkatan iaitu bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Bulan yang Allah telah jadikan puasa adalah kefarduan dan Qiyam pada malamnya adalah satu tambahan. Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah dan beramal soleh pada bulan itu, maka samalah dia dengan orang yang menunaikan 70 amalan fardu di bulan yang lain. Bulan Ramadhan adalah bulan untuk memberi pertolongan dan Allah akan menambahkan rezeki orang mukmin di dalamnya. Sesiapa memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa pada bulan itu, maka itu menjadi pengampunan dosanya dan kebebasan dari api neraka.”
Bagi golongan Mukmin mereka akan sentiasa merindui kedatangan Ramadhan dan ternanti-nanti kehadirannya kerana mereka sentiasa mendambakan pahala dan keberkatan yang berlipat-kali ganda dari Allah s.w.t yang dikurniakan sekali dalam setahun je. Janganlah pula kita berlumba-lumba untuk menyediakan juadah berbuka yang melampaui batas sehingga berlakunya pembaziran dan sebagainya. Jangan pula menjadikan alasan berpuasa ini sebagai dalih untuk tidur sepanjang hari kerana keletihan sedangkan berpuasalah salah satu alat untuk meningkatkan produktiviti kita selama sebulan ini.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya telah datang kepada kamu Bulan Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah mewajibkan berpuasa padanya, dibuka segala pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu segala syaitan. Padanya terdapat satu malam yang terlebih baik dari seribu bulan. Mereka yang tidak diberikan kebaikan pada malam ini bermakna telah diharamkan baginya segala rupa kebajikan.” - Riwayat Ahmad & Nasai’e
Insya-Allah bersempena bulan Ramadhan ini saya akan meluangkan sedikit masa untuk menulis tazkirah atau Risalah Ramadhan khas sempena bulan Ramadhan dan bukan sekadar pada hari Jumaat sahaja.
Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak.